Thursday, April 19, 2012

KISAH SUFYAN


Kekadang pelik, anak-anak sekarang suka benar melayan sikap ingin tahu.
Sufyan sibuk tanya pasal blog. Konon nak jadi blogger,tapi tak tahu nak
tulis apa. Tak kisahlah, janji jangan jadi blogger gila..


Tuesday, January 31, 2012

SELAMAT TAHUN BARU 2012

Tahun ini perasaan saya agak tercabar kerana anak kedua tinggal di asrama.
Barulah saya faham akan perasaan ngilu apabila anak tiada di depan mata.
Oleh sebab mencari ilmu, umur 13 tahun bukan penghalang seorang anak
untuk berjauhan daripada keluarga. Pada mulanya risau juga namun suami
banyak memberikan kata peransang untuk saya 'melepaskan' kesayangan
saya ke asrama. Harapan saya amat tinggi. Saya mahu anak ini mempunyai
ilmu agama dan dunia yang seimbang. Saya ingin dia berjaya di dunia dan
akhirat. Saya berhasrat agar dia dapat menjadi imam ketika saya akan
melangkah ke alam barzakh.

Kepada ibu bapa yang mempunyai harapan seperti saya, marilah kita banyak
berdoa untuk mencapai keredaan dunia wal akhirat serta istiqamah ketika
membesarkan generasi masa depan.

Friday, November 25, 2011

CUTI SEKOLAH DATANG LAGI


Anak-anak paling seronok jika cuti tiba. Ibu bapa pening kepala. Masa kecil dulu, kalau di kampung, masa cuti sekolah ialah musim menunjukkan 'talent' masing-masing. Kekawan yang pandai memanjat, akan menunjukkan 'hero'nya. Yang pandai main pondok-pondok akan menunjukkan 'telent' memasaknya. Sekarang semuanya berubah. Oleh sebab takut akan diculik, anak-anak tidak dibenarkan bermain sesuka hati. Maka terperaplah anak-anak di rumah dengan 'game' mereka. Kekadang rimas dibuatnya, jika mereka bergaduh. Apa-apapun ini dia makanan pembuka selera untuk minum petang. KELEDEK GORENG.

Sediakan keledek (ungu atau kuning), tepung beras, tepung gandum sedikit, air kapur, sedikit gula dan sedikit garam. Kuantiti ikut banyak keledek. Sedikit minyak untuk menggoreng.

Bancuh bahan di atas sehingga menjadi sedikit cair. Celupkan keledek yang telah dipotong dan dibasuh. Kemudian digoreng.

Sedap dimakan panas-panas.


Monday, March 14, 2011

KARIPAP KASIH SAYANG


Kekadang teringin nak makan karipap seperti karipap yang dibuat oleh mak.
Seingat saya, dulu mak selalu menguli doh karipap sehingga dua, tiga kg tepung. Yang seronoknya adalah semua karipap akan habis dalam masa dua, tiga jam setelah digoreng.
Hari Sabtu lepas, saya menguli doh karipap dan menyediakan intinya...

Doh karipap

1/2 kg tepung gandum
5- 6 sudu besar mentega (dicairkan)
jika anda suka lebih mentega cair, guna sehingga 1/3 mentega dan kemudian dicairkan

tepung diuli dengan mentega cair, masukkan air sedikit demi sedikit
hingga doh tidak melekat pada tangan.
ketepikan doh

inti karipap

sepotong ayam bahagian dada dan dipotong kecil
tiga hingga 4 biji kentang kecil (dipotong dadu kecil-kecil)
sebiji bawang besar (dipotong halus)
sesudu serbuk kari (cairkan dengan sedikit air)
sedikit garam
sedikit gula
sedikit minyak masak

cara membuat inti
  • panaskan minyak di dalam kuali
  • tumiskan bawang
  • masukkan paste serbuk kari
  • kacau rata
  • masukkan ayam -kacau hingga masak
  • masukkan kentang-kacau hingga rata
  • tambahkan air (sama paras dengan kentang tadi)
  • tunggu hingga kentang empuk/air kering
  • masukkan garam dan gula
  • biarkan air kering
  • keluarkan dari kuali dan sejukkan

bulatkan doh, canaikan hingga nipis, masukkan inti dan "klipkan"dgn jari

buat begitu hingga habis

kemudian digoreng dengan api perlahan

selamat mencuba


Tuesday, February 8, 2011

GULAI PISANG MUDA

Seronok rasanya berjaya memasak gulai pisang muda seperti yang diminta oleh suami. Rupanya tidaklah sesusah yang saya fikirkan.

Bahan-bahan
6- 7 biji pisang lemak manis (muda)
-dibuang kulitnya, dibelah dua, direndam dalam air garam, direbus hingga sedikit empuk
ikan bilis dua tiga ekor
beberapa biji cili api
kunyit
garam
gula
asam keping
santan (ikut pekat kegemaran)

Cara-cara memasaknya
  • tumbuk cili dan kunyit
  • rebuskan seketika dengan air yang sederhana
  • masukkan asam keping
  • biarkan mendidih
  • masukkan santan (kecilkan api) dan biarkan sedikit menggelegak
  • masukkan pisang yang telah direbus
  • masukkan garam dan gula

NOTA: Jika anda suka, boleh juga masukkan hirisan bawang besar dan daun kunyit atau tukarkan ikan bilis dengan ikan masin

Tuesday, February 1, 2011

HALAQAH 1 FEBUARI 2011

Saya amat tertarik dengan pemikiran Dr. Daniel. Beliau sering melihat dan menegaskan bahawa remaja merupakan golongan yang amat penting dalam pembentukan ketinggian darjat sesebuah masyarakat dan negara.
Menurut beliau, setiap remaja perlu berjihad. Remaja perlu tahu akan maksud perjuangan sebenarnya. Remaja perlu tahu akan hala tuju kehidupan mereka. Siapakah mereka yang bertanggungjawab untuk memikul peranan ini? Kita tidak harus menunding jari kepada orang lain.
Menurut Dr. Danial lagi, rumahlah tempat utama gedung pembinaan ketinggian sahsiah mereka. Dicadangkan ibu bapa mengajar anak-anak dengan mukjizat Allah. Namun begitu, lewat waktu sekarang, ibu bapa amat gemar menghantar anak-anak remaja seawal umur 13 tahun ke asrama. Mereka mengharapkan anak-anak dapat dibentuk oleh persekitaran secara semula jadi. Pada masa beginilah, anak-anak diadun dengan pelbagai pengaruh tanpa adanya soal siasat oleh ibu bapa. Pun ada ibu bapa amat 'rajin' menghantar anak-anak ke medan akademi seni: seni lakon, seni lukis, seni sukan dsb. Kononnya agar anak boleh memperolehi ilmu yang baik. Lupakah ibu bapa bahawa anak-anak itu hanya mendapat ilmu duniawi.
Dapatkah kita menjawab soalan para malaikat yang bertanya tentang peranan kita?
Kita sepatutnya menerima kenyataan sekiranya anak-anak ini menjadi rapat dengan 'persekitaran' berbanding dengan kita.
Sedarlah ibu bapa bahawa pembentukan akhlak anak-anak adalah tanggungjawab kita.

Monday, January 31, 2011

SERONOKNYA BERCUTI



Semua orang seronok bercuti. Selamat bercuti diucapkan.
Namun begitu, fikirkan pengisian yang boleh kita lakukan,
sama ada perkara itu bermanfaat atau sebaliknya.